Pengarah AMSAS df

          Alhamdulillah dengan izin dan rahmat-Nya, satu dokumen atau blueprint pembangunan sebuah pusat latihan bertaraf antarabangsa yang lengkap dan dirancangkan secara terperinci telah berjaya disiapkan untuk dijadikan panduan kepada warga AMSAS dalam memacu AMSAS ke arah sebuah Pusat Kecemerlangan (CoE) Pendidikan dan Latihan Penguatkuasaan Maritim yang bertaraf dunia dan disegani di peringkat negara serantau. Program dan inisiatif yang dirancang ini adalah luas serta merangkumi setiap aspek perancangan masa hadapan AMSAS.

          AMSAS iaitu penjenamaan semula Pusat Latihan semakin dikenali sejak penubuhan APMM pada tahun 2005. Ia disebabkan trend masa kini banyak membincangkan isu mengenai keselamatan dan penguatkuasaan maritim yang semakin mendapat perhatian di peringkat global. Banyak agensi dari luar negara berminat menjalinkan usahasama dalam memperkukuh dan memperkasa perairan negara dengan menganjur pelbagai kursus, bengkel, latihan bersama dan seminar. Sebagaimana hasrat Agensi untuk menjadikan AMSAS sebagai CoE menjelang 2020, AMSAS perlu bergegas dan bersiap siaga untuk menerokai the divergent scenarios of possible futures di mana kita boleh merebut peluang-peluang baharu yang tersedia.

          Untuk mencapai status CoE, pelan strategik ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan pencapaian bagi Projek Agenda Kritikal (CAP) yang ditetapkan. Pelaksanaan CAP ini akan dimantapkan lagi dari segi kualiti dengan menambah pengisian yang sedia ada. Pelan Strategik AMSAS 2014-2020 didokumentasikan menjurus kepada memperbaharui fokus penyediaan perkhidmatan latihan penguatkuasaan maritim kepada peminta khidmat berpandukan Institut Latihan Awam (ILA) ternama seperti INTAN dan ILKAP serta juga agensi JapanCoast Guard sebagai benchmark.

Program ini juga diolah berpandukan Pelan Jangka Pendek dan Pelan Jangka Panjang PPSMM 2040 sebagai panduan asas dan penggunaan kaedah Balanced Score Card (BSC) sebagai alat pengukur prestasi. Ia memberi tumpuan ke atas perkara-perkara utama yang penting sejajar dengan matlamat utamanya untuk melaksanakan pengurusan berkualiti dalam meningkatkan kualiti kecekapan dan keberkesanan organisasi ini dalam menyumbang sumber tenaga yang terampil dan kompeten kepada Agensi.

 

Proses penetapan strategi khusus diletakkan kepada aspek mempertingkatkan kompetensi warga; mengarus perdana dan memperkukuhkan pengurusan latihan. Penglibatan AMSAS dan juga seluruh warga Agensi melalui pelaksanaan dasar, usaha penjaminan kualiti, latihan dan pendidikan, kepimpinan dan usaha-usaha yang menyokong pencapaian AMSAS sebagai CoE menjelang 2020 amat dititik beratkan. Adalah diharapkan dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif melalui instrumen yang dirancangkan melalui pelan strategik ini dapat memacu AMSAS mencapai keberhasilan malah mengecilkan jurang perbezaan antara ILA ternama dan juga agensi coast guard antarabangsa.

 

Saya percaya Pelan Strategik ini dapat direalisasikan dan mendapat kerjasama dan mandat dari seluruh warga APMM. Saya penuh yakin, ini merupakan perintis ke arah kecemerlangan pendidikan dan latihan penguatkuasaan maritim apabila inisiatif dan aktiviti yang diprogramkan dilaksana dengan lancar dan sistematik.

 

Insya-Allah, kita akan berjaya.